Anda perlukan 12 pil misoprostol (200mcg setiap satu). Kalau ada pil lebih, ia mungkin berguna sekiranya anda perlukan dos tambahan.
Misoprostol boleh didapati di farmasi di banyak negara, kadang-kadang tanpa preskripsi. Tapi, kalau beli secara atas talian atau dari penjual tempatan, pastikan sumber itu boleh dipercayai sebab ada risiko pil palsu.
Cara ambil ubat gugurkan kandungan
Langkah 1: Letakkan 4 pil misoprostol (200mcg setiap satu) di bawah lidah anda. Biarkan selama 30 minit supaya pil larut. Anda boleh menelan air liur anda. Selepas 30 minit, telan sisa pil kalau masih ada.
Penting: Jika pil misoprostol yang anda gunakan dipanggil Oxaprost atau Arthrotec, ludahkan sebarang sisa pil yang tinggal selepas 30 minit. Ini kerana pil tersebut mengandungi diclofenac dalam dos yang tinggi, dan ia boleh memudaratkan jika ditelan sepenuhnya.
Langkah 2: Tunggu 3 jam, kemudian ulang sekali lagi langkah 1.
Langkah 3: Tunggu 3 jam, kemudian ulang sekali lagi langkah 1.
Jika perlu sahaja: Sekiranya pendarahan kurang daripada yang dijangka dan anda tak pasti sama ada pengguguran dah selesai, anda boleh teruskan ambil 2 pil misoprostol (200mcg setiap satu) setiap 3 jam. Letakkan di bawah lidah dan biarkan selama 30 minit seperti tadi.
Kami mengesyorkan penggunaan misoprostol di bawah lidah anda, kerana ia sama selamat dan berkesan seperti penggunaan melalui faraj. Di banyak negara, individu mungkin berdepan risiko undang-undang atau stigma kerana melakukan pengguguran di rumah. Mengambil pil di bawah lidah tidak meninggalkan sebarang kesan, jadi jika anda memerlukan rawatan perubatan, tiada bukti fizikal mengenai penggunaannya.
Jika anda perlu jumpa petugas kesihatan atas apa-apa sebab, anda tidak perlu memberitahu mereka bahawa anda menggunakan ubat gugurkan kandungan. Anda boleh cakap yang anda rasa anda sedang alami keguguran. Petugas kesihatan tidak dapat bezakan, dan rawatannya adalah sama. Tiada ujian yang boleh menunjukkan anda telah guna ubat gugurkan kandungan.
Sila rujuk juga Ubat tahan sakit apa yang boleh digunakan? dan Bagaimana saya tahu jika saya mengalami komplikasi dan apa yang perlu dibuat?
Untuk sebarang solan, hubungi helpdesk kami di info@womenonweb.org
