Setiap orang akan melalui proses dan pengalaman yang berbeza.
Mifepristone biasanya tidak menyebabkan sebarang kesan sampingan. Tapi sesetengah orang mungkin rasa kekejangan ringan, pendarahan, dan sakit kepala. Ini semua adalah normal.
Misoprostol berfungsi dengan menyebabkan kekejangan dan pendarahan, dan ini adalah tanda ia sedang berkesan. Ia juga boleh menyebabkan loya, muntah, cirit-birit, menggigil dan demam. Ini juga normal dan biasanya akan hilang dalam beberapa jam selepas dos terakhir misoprostol.
Proses pengguguran: Selepas anda mengambil misoprostol, anda sepatutnya akan mengalami pendarahan dan rasa kejang. Ini biasanya bermula dalam masa 1-4 jam, tapi kadang-kadang boleh ambil masa lebih lama. Pendarahan dan rasa kekejangan selalunya lebih kuat daripada haid biasa, dan akan jadi lebih kuat sehingga sisa kehamilan keluar. Secara purata, ini berlaku dalam masa 4-5 jam, tapi boleh juga ambil masa yang lebih lama. Sesetengah orang mungkin nampak kantung (berwarna putih atau kelabu), embrio, atau janin semasa ia keluar. Manakala yang lain mungkin hanya nampak gumpalan darah. Biasanya, kekejangan dan pendarahan akan berkurang selepas sisa kehamilan keluar sepenuhnya.
Berapa lama pendarahan akan berterusan: Mengeluarkan semua tisu kehamilan ambil masa. Adalah normal untuk terus mengalami pendarahan, spotting, atau rasa kejang selama beberapa hari atau minggu selepas mengambil misoprostol. Ini akan berkurang sedikit demi sedikit. Haid anda biasanya akan datang semula dalam 4-8 minggu selepas pengguguran.
Bila boleh kembali kepada aktiviti harian: Anda boleh mula semula aktiviti harian bila anda rasa bersedia. Anda juga boleh melakukan hubungan seksual bila anda rasa selesa. Kehamilan baru boleh berlaku dengan cepat selepas pengguguran, walaupun anda masih berdarah. Jadi anda boleh pertimbangkan untuk menggunakan kaedah kontraseptif jika perlu.
