Adakah anda perlu menjalani ujian ultrasound setelah melakukan pengguguran dengan pil?

Sekiranya anda tidak mengalami sebarang tanda-tanda komplikasi, anda tidak perlu menjalani ujian ultrasound setelah melakukan pengguguran secara perubatan.

Dengan melakukan ujian ultrasound, anda boleh memastikan bahawa sama ada kehamilan anda telah tamat walaupun cuma beberapa hari setelah melakukan pengguguran tersebut, lebih-lebih lagi sekiranya anda berasa tidak yakin bahawa pengguguran tersebut telah berjaya. Anda juga boleh melakukan ujian kehamilan melalui air kencing di rumah sekitar 3-4 minggu setelah menggunakan ubat-ubatan tersebut. Sekiranya anda melakukan ujian kehamilan melalui air kencing di rumah sebelum menunggu sehingga 3 minggu, ia boleh menunjukkan hasil keputusan yang salah dan menunjukkan anda masih hamil, kerana masih terdapat hormon kehamilan di dalam tubuh badan anda.

Pengguguran secara perubatan, seperti keguguran, merupakan sebuah proses yang mengambil masa dan badan anda mungkin mengambil masa sehingga beberapa minggu untuk mengeluarkan semua sel tisu dan hasil kehamilan di dalam rahim anda dengan sepenuhnya. Ini adalah keadaan yang normal dan biasa. Sekiranya anda mahu, anda boleh menjalani ujian ultrasound sekitar 10 hari selepas menggunakan ubat-ubatan tersebut untuk memastikan dengan secepat mungkin bahawa kehamilan anda telah tamat.
Walaupun kehamilan tersebut telah tamat, ramai wanita masih mempunyai sel tisu dan darah di dalam rahim selama beberapa minggu. Sekiranya anda tidak mempunyai sebarang tanda-tanda komplikasi seperti kesakitan yang teruk di bahagian perut, demam yang berterusan, pendarahan yang amat berat, pengeluaran cecair dari faraj yang berbau, anda tidak memerlukan sebarang intervensi pembedahan, seperti aspirasi vakum, walaupun doktor mencadangkannya. Anda boleh menunggu sehingga haid anda datang atau letakkan 2 tablet pil Misoprostol di bawah lidah anda.