Komplikasi Pengguguran dan Kesan Sampingannya

Kesan pengguguran kepada setiap orang mungkin berbeza, berpunca dari faktor kesihatan dan perubatan anda sendiri. Apakah kesan tersebut? Baca lanjut.

Sekiranya anda melakukan pengguguran dengan mengambil gabungan Mifepristone dan Misoprostol dalam tempoh hamil 11-12 minggu, ia mempunyai kadar keberkesanan yang tinggi iaitu sampai 99%. Manakala jika anda melalui proses pengguguran dengan menggunakan pil Misoprostol sahaja, peratusannya juga tinggi, iaitu sebanyak 94%.

Risiko pengguguran yang dijalankan pada minggu ke-12 kehamilan atau lebih awal adalah lebih rendah, terutamanya apabila anda menjalani proses pengguguran secara perubatan. Dalam setiap 100 orang yang menjalani pengguguran, hanya 2 atau 3 orang sahaja yang perlu berjumpa dengan doktor untuk saringan kesihatan dan rawatan susulan. Oleh sebab itu, keputusan untuk menjalani pengguguran hendaklah dibuat sesegera yang mungkin, sebaik sahaja anda mengesahkan kehamilan anda.

Kesan Sampingan Pengguguran

Pengguguran secara perubatan pada kebiasaannya akan menyebabkan beberapa kesan sampingan, seperti kesakitan dan kekejangan, dan juga pendarahan yang dituruti dengan pengeluaran darah beku dan sel tisu. Loya, muntah-muntah, cirit-birit, pening kepala, dan panas dalam atau demam juga mungkin akan berlaku.

Demam yang bermula sebaik sahaja selepas penggunaan Misoprostol dan berlanjutan kurang dari 24 jam serta kurang dari 100.4 F / 38 C adalah kesan sampingan yang biasa.

Reaksi alahan terhadap ubat-ubatan tersebut boleh menyebabkan kegatalan (ruam merah yang gatal-gatal atau bengkak pada kulit).

Kaedah Rawatan Dilatasi dan Kuretaj

Terdapat juga beberapa keadaan di mana komplikasi akan terjadi semasa pengguguran secara perubatan, dan hampir keseluruhannya dirawat dengan menggunakan kaedah dilatasi dan kuretaj (dilatation and curretage) atau lebih popular dengan singkatan D&C sahaja, dan prosesnya dikenali sebagai pendilatan dan pengkuretan.

Ditalasi dan pengkuretan merupakan prosedur yang dilakukan oleh pakar sakit puan untuk merawat dan juga mencari punca kenapa seseorang wanita itu mengalami pendarahan dari dalam rahim. Ia juga boleh mengesan kanser di dalam rahim.

Selepas seseorang itu mengalami keguguran atau proses pengguguran berlaku, doktor akan menjalankan prosedur dilatasi dan pengkuretan di mana sisa-sisa tisu janin dan uri yang masih tertinggal di dalam rahim mereka disedut keluar.

Dilatasi bermakna membuka serta melebarkan pangkal rahim supaya alat pengkuretan boleh dimasukkan dan seterusnya pengambilan sampel dari dalam rahim dibuat.

Lazimnya, dilatasi dan pengkuretan adalah satu prosedur yang selamat dan senang dilakukan. Proses pemulihannya juga cepat dan berkesan.

Pendarahan

Sekiranya anda mengalami pendarahan yang berlanjutan selama lebih dari 2 jam dan memenuhkan lebih dari 2 tuala wanita bersaiz maxi setiap jam, ini bermaksud pendarahan berat sedang terjadi. Anda sedang kehilangan banyak darah, dan akan berasa pening atau pitam. Anda harus berjumpa doktor dengan segera. Anda akan dirawat dengan pengkuretan. Pendarahan seperti ini jarang terjadi.

Pengguguran Tidak Selesai

Pengguguran yang tidak selesai juga boleh terjadi disebabkan beberapa faktor, seperti pengambilan dos yang tidak tepat, penggunaan ubat yang salah, atau komplikasi kesihatan yang lain. Sekiranya anda mengalami pendarahan yang berterusan, anda perlu berjumpa doktor dengan kadar segera. Doktor akan memberikan rawatan pengkuretan kepada anda.

Jangkitan

Anda mungkin terdedah kepada jangkitan sekiranya anda mengalami demam lebih dari 38 darjah selsius selama 24 jam. Selalunya, anda akan dirawat dengan antibiotik atau proses pengkuretan. Adalah amat penting untuk anda berjumpa doktor dan mengetahui keadaan anda pada saat begini.

Sekiranya anda memerlukan bantuan atau pun mempunyai sebarang soalan, sila hubungi kami di info@womenonweb.org. Kami sedia membantu anda.