Panduan Pil Gugur - Ubat Gugur Kandungan

Pil gugur adalah selamat dan berkesan. ✅ Ketahui cara-cara pengguguran melalui pil. Ubat gugur kandungan: Mifepristone dan Misoprostol

Semua kandungan perubatan disemak secara berkala oleh doktor perubatan. Ulasan kandungan didorong oleh protokol perubatan, penyelidikan, dan nasihat dasar yang baharu.

Rundingan atas talian

ADAKAH ANDA MEMERLUKAN BANTUAN UNTUK MENAMATKAN KEHAMILAN YANG TIDAK DIINGINI?

Mulakan rundingan anda

Setiap tahun, ribuan wanita memperoleh pil pengguguran dengan selamat melalui khidmat pengguguran atas talian oleh Women on Web. Sekiranya anda tidak mempunyai penyakit yang kronik, berada dalam tempoh kehamilan 10 minggu yang pertama, dan tidak dapat mengakses perkhidmatan pengguguran dengan selamat di tempat anda, kami boleh membantu anda. 

Dipantau oleh doktor-doktor perubatan, khidmat meja bantuan kami yang terlatih adalah tersedia setiap hari dan akan menjawab sebarang pertanyaan dari anda sebelum, semasa, dan selepas proses pengguguran. Meja bantuan ini menyediakan sokongan tanpa prejudis serta memberi maklumat mengenai cara untuk melakukan pengguguran. Mereka akan menerangkan cara menggunakan pil pengguguran dengan betul, apa yang boleh diharapkan akan terjadi, dan bagaimana untuk mengenal pasti sekiranya anda berpotensi untuk menghadapi komplikasi.

Sebelum anda dapat mengakses perkhidmatan kami, anda akan diminta untuk melakukan rundingan atas talian sehingga selesai terlebih dahulu. Rundingan tersebut dirancang untuk membiasakan kakitangan perubatan kami dengan situasi anda. Rundingan atas talian sama sahaja seperti temu janji secara langsung dengan pengamal perubatan: ia akan menanyakan soalan mengenai kehamilan dan sejarah perubatan anda untuk menentukan sama ada anda selamat untuk menjalani pengguguran atau tidak. Semua maklumat yang anda berikan kepada kami akan dirahsiakan. 

Pengguguran secara perubatan (juga dikenali sebagai pengguguran menggunakan pil) adalah pilihan yang selamat dan berkesan untuk menamatkan kehamilan awal. Pengguguran secara perubatan adalah mudah untuk dilakukan dan boleh dilakukan dengan selamat secara privasi di rumah anda sendiri. Menguruskan pengguguran anda sendiri dalam 12 minggu pertama kehamilan mempunyai risiko komplikasi yang rendah. Proses dan kesan sampingan pengguguran secara perubatan ini adalah sama seperti mengalami keguguran dan mempunyai risiko kesihatan yang sama.

Pengguguran secara Perubatan Sebelum 12 Minggu

Pengguguran secara perubatan, juga dikenali sebagai “pengguguran menggunakan pil”, “pengguguran yang dikendalikan sendiri” atau “pengguguran di rumah”, merujuk kepada penggunaan ubat untuk menamatkan kehamilan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pengguguran yang dikendalikan sendiri sebagai satu pilihan yang selamat, boleh diterima, dan memberdayakan sehingga 12 minggu kehamilan. Sekiranya anda berada di negara di mana Mifepristone tidak boleh didapati, anda juga boleh melakukan pengguguran secara perubatan dengan hanya menggunakan Misoprostol sahaja. 

Semasa melakukan pengguguran, pilih tempat persendirian di mana anda boleh berehat dan kekal terhidrasi. Adalah disarankan supaya anda ditemani oleh orang yang boleh dipercayai bersama untuk menjaga keselamatan dan memberi sokongan kepada anda. 

Pengguguran secara perubatan menggunakan Mifepristone dan Misoprostol (Cytotec)

Pengguguran secara perubatan menggunakan Mifepristone dan Misoprostol adalah kaedah yang paling biasa digunakan dan berkesan. Mifepristone digunakan terlebih dahulu untuk menyekat penghasilan hormon yang diperlukan bagi meneruskan kehamilan. Selepas 24 jam, Misoprostol pula digunakan, di mana ia melonggarkan dan membuka serviks serta menyebabkan pengecutan pada rahim, membantu dalam proses untuk mengeluarkan kehamilan dari badan. Pengguguran secara perubatan adalah sebuah proses yang boleh memakan masa sehingga 2 minggu atau malah sehingga tempoh haid anda yang seterusnya selesai, tetapi kebanyakan wanita kembali kepada rutin harian mereka selepas 1-2 hari.

Kami amat menyarankan anda untuk meletakkan Misoprostol di bawah lidah anda bagi memastikan tiada sisa yang boleh dijumpai di dalam sistem badan anda. Jadi sekiranya anda memerlukan rawatan kesihatan, Misoprostol tidak akan muncul di keputusan ujian darah dan oleh itu, tiada cara untuk membuktikan bahawa anda cuba untuk menamatkan kehamilan anda.

Pengguguran secara perubatan yang dilakukan semasa trimester pertama terbukti berkesan sebanyak 98% dan dianggap lebih selamat daripada proses bersalin biasa atau menggunakan ubat yang boleh dibeli di kaunter farmasi seperti ibuprofen dan aspirin berdos tinggi. Kedua-dua ubat tersebut; Mifepristone dan Misoprostol, boleh didapati di Senarai Model Teras Ubat Penting oleh WHO.

Sila baca arahan dan maklumat yang lebih komprehensif mengenai cara menggunakan pil pengguguran di sini.

Pengguguran secara Perubatan dengan hanya menggunakan Misoprostol (Cytotec)

Pengguguran secara perubatan juga boleh dilakukan dengan hanya menggunakan Misoprostol sekiranya Mifepristone tidak tersedia atau tidak boleh didapati di tempat anda. Apabila digunakan seperti yang disyorkan, pengguguran dengan Misoprostol adalah berkesan sebanyak 85%, bergantung kepada tempoh kehamilan. Misoprostol boleh didapati di sesetengah farmasi tempatan dan ini mungkin satu pilihan yang lebih selamat untuk menamatkan kehamilan anda kerana anda mempunyai akses yang lebih segera untuk mendapatkan ubat tersebut. Untuk menguruskan sendiri kehamilan anda sehingga 12 minggu pertama dengan hanya menggunakan Misoprostol sahaja, anda memerlukan 12 tablet dalam jangka masa 6-7 jam.

Sekiranya anda hanya menggunakan Misoprostol untuk melakukan pengguguran, adalah penting untuk anda tahu sejauh mana usia kehamilan anda. Jika anda melakukan pengguguran dengan hanya menggunakan Misoprostol sahaja selepas 12 minggu kehamilan, risiko pendarahan berat, kesakitan yang mendalam, dan/atau komplikasi akan semakin meningkat seiring dengan seberapa matang usia kandungan anda (sama seperti penggunaan Mifepristone dan Misoprostol selepas 12 minggu). Anda boleh mengira seberapa matang usia kehamilan anda dengan menjalani ujian ultrabunyi (kaedah yang lebih tepat) atau menghitung mulai dari hari pertama tempoh haid terakhir anda hingga ke hari ini. Untuk menggunakan Kalkulator Kehamilan kami, sila klik di sini.   

Sila baca arahan dan maklumat yang lebih komprehensif mengenai cara melakukan pengguguran dengan hanya menggunakan Misoprostol sahaja di sini.

Pengguguran secara Perubatan Selepas 12 Minggu

Ada beberapa sebab menyumbang kepada keperluan untuk melakukan pengguguran yang lewat (12-24 minggu). Antaranya adalah anda dapat tahu bahawa anda sedang hamil pada trimester kedua kerana haid yang tidak teratur, masa menunggu yang wajib adalah terlalu lama sehingga menyebabkan kelewatan, atau sekadar mengubah fikiran anda kerana keadaan telah berubah; dan semua sebab-sebab di atas adalah alasan yang sah. Walaupun pengguguran lewat hanyalah kes yang terpencil, menyediakan akses yang selamat kepada pengguguran lewat boleh mengurangkan tahap kesakitan dan kematian yang berkaitan dengan pengguguran.

Khidmat Women on Web hanya tersedia sehingga minggu ke-10 kehamilan, memberikan masa yang mencukupi supaya ubat-ubatan yang telah dibekalkan tiba di tangan anda dalam tempoh masa yang sesuai.

Sekiranya anda menggunakan pil-pil tersebut selepas 12 minggu kerana kelewatan dalam penerimaan bungkusan, kami amat menyarankan supaya anda berada berhampiran dengan kemudahan kesihatan yang terdekat. Kajian telah menunjukkan bahawa pengguguran secara perubatan yang dilakukan semasa trimester kedua juga boleh berjaya dan ubat-ubatan tersebut tetap akan menyebabkan pengguguran. Walau bagaimanapun, risiko komplikasi akan meningkat dan kemungkinan besar anda memerlukan rawatan kesihatan susulan selepas itu.

Pengguguran secara perubatan yang dilakukan selepas 12 minggu adalah satu pilhan yang lebih selamat berbanding menggunakan kaedah yang tidak selamat untuk memaksa atau mendorong pengguguran terjadi. Kaedah-kaedah seperti memasukkan objek yang tajam ke dalam faraj, minum atau memasukkan bahan kimia yang toksik, atau trauma kepada abdomen anda adalah sangat berbahaya dan boleh membawa maut.

Kalkulator Kehamilan

Ramai orang dapat mengenal pasti mereka sedang hamil berdasarkan pelbagai perubahan pada badan mereka. Antara petanda awalnya merangkumi tidak datang haid (semasa sedang aktif secara seksual), mual dan loya, payudara yang sakit dan bengkak, serta kelesuan.

Walau bagaimanapun, satu-satunya cara untuk memastikan anda benar-benar hamil adalah dengan ujian kehamilan (tepat hanya dari hari pertama anda tidak datang haid) atau ujian ultrabunyi (menunjukkan kehamilan kira-kira seminggu selepas anda tidak datang haid).

Kajian telah menunjukkan bahawa para wanita dapat membuat anggaran secara tepat dengan sendirinya. Untuk mengira seberapa jauh usia kehamilan anda, cuba ingat hari pertama tempoh haid terakhir anda dan mula menghitung hari-hari yang telah berlalu sehingga ke hari ini; ia sepatutnya memberitahu anda dengan tepat sejauh mana usia kehamilan anda.

Sekiranya anda rasa anda sedang hamil dan ingin menggunakan kalkulator kehamilan kami, sila klik di sini. Jika anda memerlukan pengguguran dengan menggunakan pil, Women on Web boleh membantu anda sehingga 10 minggu terawal kehamilan anda. Klik di sini untuk memulakan rundingan atas talian bersama kami.

Kesan Sampingan, Komplikasi, dan Risiko

Pengguguran secara perubatan, atau pengguguran dengan menggunakan pil (Mifepristone dan Misoprostol), adalah cara yang selamat dan berkesan (98% kadar keberkesanan) untuk menamatkan kehamilan anda. Kesan sampingannya sama seperti jika anda mengalami keguguran secara spontan. Hanya kurang daripada 0.4% kes yang akan mendapat komplikasi serius. Terdapat beberapa risiko kesihatan dan kesan sampingan yang perlu dipertimbangkan, tetapi pengguguran secara perubatan adalah satu perkhidmatan penjagaan kesihatan moden yang diuji secara besar-besaran dan digunakan oleh jutaan wanita di seluruh dunia.

Apa yang perlu dijangka (kesan sampingan)

Setelah anda menggunakan pil untuk memulakan proses pengguguran, anda akan mengalami kekejangan, sakit perut, pendarahan, serta pengaliran darah beku dan tisu badan akan berlaku. Anda juga mungkin akan mengalami mual dan loya, muntah-muntah, pening kepala, cirit-birit, panas dalam atau demam. Pendarahan adalah tanda-tanda awal proses pengguguran sudah bermula. Pendarahan tersebut akan berterusan dan kekejangan akan menjadi lebih teruk. Pengguguran secara perubatan boleh terasa seperti haid yang berat. Lebih matang usia kehamilan, lebih teruk kekejangan dan lebih berat pendarahan yang akan terjadi. Pendarahan yang paling berat biasanya akan terhenti 1 atau 2 jam selepas terkeluarnya tisu-tisu kehamilan dari dalam badan anda.

Untuk mengurangkan rasa tidak selesa, anda boleh menggunakan pil penahan sakit (ubat anti-radang bukan steroid) seperti Ibuprofen atau Diclofenac sebelum anda memulakan proses pengguguran.

Sekiranya ada gejala-gejala di atas terasa melampau atau berterusan selama beberapa hari selepas anda menggunakan Misoprostol, anda harus mendapatkan rawatan kesihatan dengan segera.

Untuk maklumat yang lebih lanjut, sila layari halaman Soal Jawab kami.

Mengenal pasti komplikasi

Risiko untuk mengalami komplikasi akibat pengguguran secara perubatan adalah amat rendah (kurang dari 0.4% akan mengalami komplikasi yang serious). Risiko ini sama seperti jika anda mengalami keguguran yang spontan dan akan dirawat dengan cara yang sama. Tanda-tanda anda mungkin mengalami komplikasi selepas melakukan pengguguran adalah:

Pendarahan yang berat

Sekiranya pendarahan anda berterusan selama lebih dari 2 jam dan menyerap 2 atau lebih tuala wanita bersaiz maxi pada setiap jam, atau anda mula berasa pening kepala atau pitam (ini adalah tanda kehilangan darah yang terlalu banyak), anda perlu mendapatkan rawatan kesihatan dengan segera. Pengambilan ubat tambahan atau kadang-kala pembedahan (aspirasi vakum) mungkin diperlukan untuk merawat pendarahan yang berat, tetapi biasanya pengambilan dos tambahan Misoprostol akan menghentikan pendarahan tersebut. Dalam kes-kes yang terpencil (kurang dari 0.2%), transfusi atau pemindahan darah mungkin diperlukan.

Jika anda perlu mendapatkan rawatan kesihatan lanjut, semasa anda dalam perjalanan ke hospital dan sekiranya ada, letakkan baki 2 tablet Misoprostol di bawah lidah anda untuk membantu pendarahan tersebut. Jangan lupa untuk menelan atau meludahnya keluar sebelum memasuki hospital.

Demam panas

Demam panas mungkin merupakan tanda jangkitan. Adalah normal bagi mengalami demam ringan (di bawah 100.4 F/38 C) dalam masa 24 jam setelah menggunakan pil pengguguran tetapi sekiranya demam bertambah buruk atau berterusan melebihi satu atau dua hari, anda mungkin mengalami komplikasi. Sekiranya ini berlaku, anda perlu mendapatkan rawatan kesihatan dengan segera kerana anda mungkin memerlukan antibiotik atau aspirasi vakum untuk membuang tisu-tisu yang dijangkiti.

Reaksi alahan

Reaksi alahan boleh berlaku setelah anda menggunakan pil pengguguran. Beberapa gejala alahan ringan yang biasa termasuk kegatalan kulit, ruam, atau timbulnya benjolan gatal di permukaan kulit anda. Reaksi ini akan hilang dengan sendirinya atau boleh dirawat dengan menggunakan ubat antihistamin. Sekiranya anda mengalami reaksi yang lebih parah seperti bengkak, sesak nafas, pening, pitam, atau berasa tekanan di dada, anda perlu mendapatkan rawatan kesihatan dengan segera.   

Jika anda mengalami mana-mana gejala di atas, sila dapatkan rawatan perubatan susulan.     

Untuk maklumat yang lebih lanjut, sila layari halaman Soal Jawab kami.

Apa yang akan terjadi sekiranya pil pengguguran tidak berkesan?

Pengguguran secara perubatan dengan Mifepristone dan Misoprostol adalah 98% berkesan dan mempunyai risiko kesihatan yang sama seperti keguguran spontan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa risiko yang mungkin perlu anda berikan perhatian.

Kehamilan yang berterusan

Antara risikonya adalah proses pengguguran mungkin tidak akan menamatkan kehamilan anda. Sekiranya anda masih lagi mengalami gejala kehamilan selepas menggunakan pil tersebut, seperti mual, loya atau payudara yang terasa lembut, anda mungkin mengalami kehamilan yang berterusan. Anda disarankan untuk menjalani ujian kehamilan selepas 3 minggu untuk mengesahkan bahawa anda tidak lagi hamil. Adalah penting untuk menunggu sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum anda menjalani ujian kehamilan tersebut. Badan anda mungkin masih mempunyai sisa-sisa hormon kehamilan yang akan menyebabkan keputusan ujian menjadi positif palsu. 

Kehamilan yang tidak lengkap

Risiko yang lainnya adalah anda mungkin mengalami proses pengguguran yang tidak lengkap. Ini bermakna kehamilan anda ditamatkan tetapi masih terdapat tisu-tisu janin yang tersisa di dalam rahim anda. Sekiranya tisu-tisu yang tersisa kekal di dalam badan anda, anda mungkin akan mengalami komplikasi seperti pendarahan yang berat atau jangkitan. Jika anda mengalami sakit perut yang tidak hilang selepas beberapa hari, kesakitan yang teruk, pendarahan yang terlalu banyak (lebih dari haid yang biasa), demam, atau pendarahan yang berterusan, anda mungkin mengalami proses pengguguran yang tidak lengkap. Tiga minggu selepas melakukan pengguguran, anda juga mungkin akan mendapat keputusan ujian kehamilan yang positif sekiranya proses pengguguran tersebut tidak selesai. Dalam kes ini, anda perlu menjalani ujian ultrabunyi untuk mengesahkan bahawa tiada tisu yang tersisa di dalam badan anda. Sekiranya anda tidak mengalami sebarang tanda-tanda komplikasi seperti di atas, anda boleh mengambil dua lagi tablet Misoprostol untuk mengeluarkan sisa-sisa tisu tersebut.

Kehamilan ektopik

Akhir sekali, pil pengguguran tidak akan berfungsi sekiranya anda mengalami kehamilan ektopik. Kehamilan ektopik adalah apabila janin terletak di luar rahim (biasanya di dalam tiub fallopian). Dalam kes ini, pil tersebut tidak akan berkesan dan anda perlu mendapatkan rawatan kesihatan. Kehamilan ektopik jarang terjadi tetapi boleh menyebabkan risiko kesihatan yang serius dan perlu dirawat dengan segera. Jika anda mengalami kesakitan yang teruk atau berterusan selepas proses pengguguran, terutamanya di satu sisi pada badan anda, anda mungkin mengalami kehamilan ektopik. Adalah penting untuk memastikan bahawa kehamilan anda telah tamat dengan melakukan ujian kehamilan selepas tiga minggu. Sekiranya keputusan ujian anda positif, penting untuk anda mendapatkan pemeriksaan kesihatan kerana anda mungkin mengalami kehamilan ektopik.

Untuk maklumat yang lebih lanjut, sila layari halaman Soal Jawab kami.

Pengguguran secara Perubatan vs. Pembedahan: Apakah perbezaannya?

Terdapat dua jenis kaedah pengguguran yang selamat: secara pembedahan dan perubatan. Pengguguran secara pembedahan adalah prosedur minor yang menamatkan kehamilan melalui kaedah pembedahan. Prosedur di klinik yang disarankan dan yang paling biasa dilakukan dikenali sebagai aspirasi vakum. Prosedur ini dilakukan oleh penyedia penjagaan kesihatan yang terlatih dan memerlukan lawatan ke klinik.

Pengguguran secara perubatan pula adalah pengguguran dengan menggunakan pil. Ramai wanita memilih kaedah ini kerana ia kurang invasif dan tidak memerlukan sebarang anestesia atau peralatan perubatan lain. Proses ini dapat diuruskan sendiri di rumah anda, menjadikannya satu pilihan yang lebih peribadi dan ada yang mengatakan ia terasa lebih semula jadi kerana ia menyerupai haid yang berat atau keguguran spontan. Pengguguran di rumah mengurangkan keperluan untuk melakukan perjalanan serta jadual berkaitan dengan penjagaan anak dan komitmen kerja, membolehkan pengguguran yang lebih awal, lebih selamat, dan kurang mengganggu.

Di beberapa negara, hanya pengguguran secara pembedahan sahaja yang tersedia dan dibenarkan tetapi akses kepada kedua-dua jenis kaedah pengguguran adalah keperluan penjagaan kesihatan yang penting dan sensitif terhadap masa.

Kaedah dan penawar yang tidak selamat untuk pengguguran

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan bahawa pengguguran yang diuruskan sendiri atau pengguguran di rumah adalah satu pilihan yang selamat dan berkesan. Walau bagaimanapun, Internet sering menawarkan pelbagai maklumat mengenai petua dan penawar kehamilan yang secara palsu telah dilaporkan sebagai selamat padahal ia boleh mengancam nyawa anda. Walaupun petua dan penawar tersebut kelihatan seperti menarik; seperti penggunaan produk semula jadi atau menjimatkan yang terdapat di sekitar rumah anda, anda harus mengelak dari menggunakan kaedah-kaedah tersebut untuk menamatkan kehamilan anda. Ia tidak berkesan sama sekali dan boleh membawa kepada risiko kesihatan yang serius. Komplikasi akibat pelbagai petua di rumah termasuklah proses pengguguran yang tidak sempurna, jangkitan, pendarahan, atau akibat-akibat lain yang boleh mengancam nyawa.

Dalam negara di mana pengguguran adalah haram di sisi undang-undang atau terbatas, para wanita sering menggunakan kaedah yang tidak selamat untuk menamatkan kehamilan mereka. Menurut WHO, sebanyak 45% dari semua pengguguran yang dilakukan di seluruh dunia adalah tidak selamat. Satu-satunya kaedah yang didapati selamat dan berkesan adalah pengguguran secara perubatan dan pembedahan. Anda tidak boleh sesekali menelan larutan kaustik atau toksik, memasukkan objek tajam ke dalam badan anda, atau mencederakan diri anda sendiri untuk menamatkan kehamilan. Sekiranya anda memerlukan khidmat pengguguran, sila klik di sini untuk memulakan rundingan atas talian kami. 

Beberapa petua dan penawar di rumah yang perlu dielakkan adalah:

Teh dan herba

Beberapa pengguguran alternatif di rumah mungkin kelihatan selamat, dengan menggunakan ramuan tradisional seperti herba dan teh semula jadi. Namun, kaedah ini juga mempunyai risiko kesihatan tambahan dan boleh menjadi toksik. Malah, herba dan rempah yang anda gunakan setiap hari juga boleh menimbulkan risiko kesihatan sekiranya tidak digunakan dengan betul.

Penawar-penawar berasaskan herba yang biasanya disarankan untuk merangsang pengguguran/keguguran disebut sebagai ubat abortifasien atau emenagog (ubat pelepasan haid). Ia adalah herba atau tumbuh-tumbuhan yang sering dipercayai dapat merangsang haid, mendorong rahim untuk mengecut dan mengeluarkan isi kandungannya. Beberapa jenis abortifasien yang sering digunakan adalah wormwood, yarrow, safflower, peony, chamomile, mugwort, dan herba-herba lain yang tinggi jumlah minyak patinya. Buah-buahan, beri, dan juga vitamin C juga selalu digunakan kerana dipercayai boleh menyebabkan pengguguran. Walau bagaimanapun, keberkesanan ramuan herba dan tumbuh-tumbuhan untuk menyebabkan pengguguran sangat dipertikaikan dan kebanyakannya memerlukan pengambilan dalam jumlah yang toksik untuk memberi kesan yang diinginkan. Pengambilan petua dan penawar tersebut untuk menamatkan kehamilan boleh menyebabkan risiko kesihatan yang tinggi serta selalunya memerlukan rawatan kesihatan, dan ia bukanlah kaedah pengguguran yang boleh dipercayai.

Sebatian tinktur atau bahan kimia

Larutan atau bahan kimia yang terdapat di sekitar rumah anda tidak boleh sesekali digunakan untuk menyebabkan pengguguran terjadi, tidak kira walaupun ia mungkin kelihatan seperti tidak berbahaya. Sebatian tinktur atau ramuan buatan sendiri boleh menjadi toksik dan memerlukan rawatan perubatan segera.

Penggunaan larutan kimia seperti cecair pembersih atau peluntur adalah amat berbahaya dan tidak boleh dicuba sama sekali.  

Ubat tahan sakit, preskripsi, atau ubatan yang boleh dibeli di kaunter farmasi

Anda hanya boleh menggunakan ubat-ubatan yang terdapat di rumah anda seperti yang diarahkan atau yang ditentukan oleh ahli perubatan profesional. Menggunakan mana-mana ubat yang tidak sesuai untuk menyebabkan pengguguran boleh menyebabkan risiko kesihatan yang serius.

Sekiranya anda berniat untuk menamatkan kehamilan anda dengan menggunakan pil pengguguran, anda perlu sentiasa peka dengan penjual-penjual palsu yang menyamar sebagai pembekal perkhidmatan pengguguran yang sah. Penjualan ubat-ubatan palsu bukanlah satu hal yang jarang berlaku, terutamanya di Internet, dan pil pengguguran juga tidak terkecuali. Pastikan anda membuat kajian terlebih dahulu sebelum membeli atau memesan pil pengguguran untuk mengesahkan bahawa ia berasal dari sumber yang boleh anda percayai.  

Baca amaran Read Women on Waves mengenai farmasi atas talian palsu di sini.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengguguran tidak selamat, klik di sini.

Undang-undang mengenai Pengguguran

Undang-undang pengguguran di seluruh dunia berbeza-beza dari segi larangan pengguguran secara menyeluruh sehinggalah membenarkan perkhidmatan pengguguran yang tersedia mengikut permintaan. Walaupun dalam negara di mana pengguguran adalah haram/dilarang atau hanya dibenarkan untuk menyelamatkan nyawa wanita yang hamil, pengguguran masih juga berlaku. Malah, kadar kehamilan yang tidak diingini adalah yang tertinggi di negara-negara di mana akses kepada pengguguran disekat.

Anda boleh mengunjungi pangkalan data Undang-undang Pengguguran Dunia untuk memeriksa status undang-undang pengguguran di negara anda.

Kedua-dua ubat yang membentuk pil pengguguran; Mifepristone dan Misoprostol, berada dalam Senarai Model Teras Ubat Penting oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Senarai ini mengandungi ubat-ubatan yang dianggap penting untuk memenuhi keperluan paling asas pada mana-mana sistem penjagaan kesihatan awam. Pertubuhan Kesihatan Sedunia memperakui pengguguran sebagai masalah kesihatan awam dan menyokong penggunaan pil pengguguran sebagai satu cara yang selamat dan berkesan untuk menamatkan kehamilan.

Anda boleh membaca dengan lebih lanjut mengenai perkhidmatan dan sokongan pengguguran yang tersedia di negara anda di sini.

KAMI DI SINI UNTUK MEMBANTU ANDA

Mulakan rundingan anda