Cara Melakukan Pengguguran Secara Perubatan

Beberapa kaedah untuk melakukan pengguguran secara perubatan yang selamat.

Terdapat dua pil yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menamatkan kehamilan, iaitu: Mifepristone dan Misoprostol. Kedua-dua pil ini berada dalam senarai ubat-ubatan yang penting. Ini adalah cara yang paling selamat dan berkesan untuk menggugurkan kandungan sehingga 12 minggu usia kehamilan.

Namun begitu, mengapa masih ada yang mengatakan bahawa pengguguran secara perubatan adalah berbahaya? Kerana tidak semua pil datang dari sumber yang boleh dipercayai. Malangnya, wanita atau mereka yang hamil yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengguguran sering kali menjadi mangsa penipuan apabila mereka merujuk kepada sumber yang tidak boleh dipercayai ini. Selain dari pil perubatan palsu, wanita dan mereka yang hamil juga tidak dibekalkan dengan maklumat yang lengkap serta arahan yang betul tentang cara penggunaannya.

 

Mifepristone dan Misoprostol

Jika usia kandungan anda adalah kurang dari 12 minggu dan anda mempunyai Mifepristone dan Misoprostol di tangan anda, sila rujuk arahan penggunaan yang berikut:

  • Telan 1 biji pil Mifepristone
  • 24 jam selepas menelan Mifepristone tersebut, letakkan 4 tablet Misoprostol di bawah lidah anda dan biarkannya selama 30 minit sehingga ia larut. Keluarkan sisa-sisa pil yang masih tertinggal selepas itu.

Sekiranya anda mengalami pendarahan tidak sebanyak yang anda jangkakan dan anda mula berasa bimbang mengenainya, selepas 3 jam kemudian, sila letakkan 2 lagi tablet Misoprostol di bawah lidah anda. Biarkan selama 30 minit sehingga ia larut.

Anda boleh mengulangi langkah ini sehingga maksimum 5 dos.

Kesan sampingannya termasuklah loya, muntah dan cirit-birit. Risiko untuk mengalami komplikasi yang serius amatlah rendah.

 

Misoprostol sahaja

Sekiranya anda hanya mempunyai pil Misoprostol atau Cytotec, anda memerlukan 12 tablet Misoprostol. Sila ambil perhatian bahawa kaedah ini hanya untuk kehamilan di bawah 12 minggu. Sila rujuk arahan penggunaan di bawah:

  • Langkah pertama: letakkan 4 pil Misoprostol (200 mcg) di bawah lidah anda. Tunggu sehinga 30 minit dan ia akan larut. Keluarkan sisa-sisa pil yang masih tertinggal, terutamanya jika anda menggunakan pil jenama Oxaprost atau Arthotec.
  • Langkah kedua: 3 jam kemudian, letakkan 4 lagi pil Misoprostol. Tunggu sehingga 30 minit dan ia akan larut. Keluarkan sisa-sisa pil yang masih tertinggal.
  • Langkah ketiga: 3 jam kemudian, letakkan 4 lagi pil Misoprostol. Tunggu sehingga 30 minit dan ia akan larut. Keluarkan sisa-sisa pil yang masih tertinggal.

Adalah penting untuk mengambil dos yang seterusnya walaupun anda sudah mula mengalami pendarahan. Ia akan membantu anda untuk memastikan bahawa proses pengguguran anda akan selesai dengan sempurna. Ini juga sebagai langkah pencegahan supaya anda tidak memerlukan rawatan perubatan yang lanjut.

 

Cara penggunaan pil pengguguran

Kami menasihati anda untuk menggunakan Misoprostol di bawah lidah anda. Dengan cara ini, tiada sisa pil boleh didapati sekiranya anda perlu pergi ke hospital. Tiada ujian darah yang boleh menunjukkan bahawa anda telah mengambil Mifepristone atau Misoprostol, jadi tidak akan ada cara untuk membuktikan bahawa anda cuba melakukan pengguguran.

Di negara-negara di mana wanita boleh didakwa kerana melakukan pengguguran, anda tidak perlu memberitahu kakitangan perubatan bahawa anda cuba untuk menggugurkan kandungan. Anda boleh mengatakan bahawa anda mengalami keguguran spontan. Doktor TIDAK BOLEH melihat perbezaannya. Rawatan juga sama. Rawatan adalah pengkuretan, juga dikenali sebagai aspirasi vakum, di mana seorang doktor akan mengeluarkan tisu yang masih tinggal dari rahim. Doktor mempunyai kewajipan untuk membantu dalam semua kes.

Jika anda lebih selesa untuk memasukkan tablet ubat dalam faraj anda, anda perlu menggunakan jari anda untuk memasukkannya sedalam mungkin, di bahagian pangkal atau belakang di mana rahim bermula. Jika anda mengalami komplikasi dan anda tinggal di tempat di mana kakitangan hospital mungkin akan mengesyaki anda dan akan menghubungi pihak polis, sila semak faraj anda dengan teliti dengan jari anda untuk menentukan sama ada semua tablet telah larut dengan sepenuhnya. Keluarkan sebarang sisa-sisa tablet yang tidak dapat sempat larut dan kemudian pergi ke hospital dengan segera. Pil ini biasanya mengambil masa empat hari untuk larut sepenuhnya.

 

Pengguguran secara Perubatan melalui Women On Web

Jika anda tidak dapat mengakses khidmat pengguguran yang selamat, sila jalani rundingan atas talian atau hantarkan e-mel kepada info@womenonweb.org. Women on Web adalah sebuah khidmat pengguguran teleperubatan yang diselia oleh doktor bertauliah. Ganatra, seorang penyelidik dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengatakan bahawa mengakses pil pengguguran melalui Women on Web – yang membekalkan maklumat dan sokongan – adalah selamat sepenuhnya. Women on Web telah melakukan banyak kajian saintifik. Media-media antarabangsa juga telah banyak meliputi kerja-kerja Women on Web.