Pilihan Reproduktif Boleh Mengatasi Penjualan Pil Pengguguran Secara Haram

Penjualan pil pengguguran secara haram membahayakan nyawa mereka yang mencari jalan penyelesaian kepada kehamilan tidak terancang.

Berdasarkan artikel yang diterbitkan oleh Free Malaysia Today dan diterjemah dari Bahasa Inggeris.

Menurut Dr John Teo, ahli jawatankuasa perubatan Federation of Reproductive Health Association of Malaysia melalui tulisannya menyatakan punca-punca di sebalik penjualan pil penggguguran secara haram.

Punca Penjualan Pil Pengguguran Secara Haram

  • Kadar penggunaan kaedah pencegahan kehamilan yang rendah di kalangan para wanita dan remaja yang berisiko mendapat kehamilan yang tidak dirancang, stigma ibu tunggal, dan seks luar nikah.
  • Kurangnya sokongan penjagaan anak untuk pasangan berkahwin dan ibu tunggal.
  • Kurangnya akses untuk mendapatkan pengguguran selamat yang sah di sisi undang-undang apabila diperlukan, diburukkan lagi oleh stigma, kurangnya pengetahuan mengenai hak reproduktif dan seksual, serta diskriminasi yang berterusan terhadap wanita.
  • Kesulitan dan kerahsiaan maklumat yang dijamin oleh pembekal pil atas talian kepada para wanita, remaja serta pasangan mereka, sekaligus merangsang permintaan tersebut.
  • Keengganan untuk menangani penjagaan kesihatan seksual dan seksualiti dengan cara yang terbuka dan komprehensif, yang akan menimbulkan ancaman kesihatan yang berterusan kepada kumpulan rentan seperti remaja, wanita yang kurang upaya, mangsa kepada perkahwinan paksa, keganasan atau penderaan, pekerja migran (sah atau mangsa pemerdagangan) dan pekerja seks, antara yang lainnya.

Penyelesaian Kepada Masalah Penjualan Pil Pengguguran Secara Haram

Terdapat beberapa penyelesaian kepada isu ini, antaranya ialah:

Pencegahan

Di sebalik setiap pengguguran, adalah kehamilan yang tidak dirancang. Penggunaan alat pencegah kehamilan jelas menghalang dari terjadinya kehamilan yang tidak dirancang dan seterusnya pengguguran.

Penggunaan alat pencegah kehamilan moden di Malaysia adalah amat suram, hanya 35% untuk beberapa dekad yang lalu. Kementerian Kesihatan dan penyedia penjagaan kesihatan perlu menggandakan usaha mereka untuk meningkatkan penggunaan alat pencegah kehamilan ini bagi para wanita yang berisiko mendapat kehamilan yang tidak dirancang.

Kita perlu terus menentang mitos-mitos serta membetulkan persepsi mengenai kaedah pencegah kehamilan dan kesihatan seksual di kalangan masyarakat.

Pekerja penjagaan kesihatan perlu diajar supaya menjadi lebih sensitif terhadap keperluan reproduktif para wanita.

Sokongan

Sekiranya terjadi kehamilan yang tidak dirancang, perlu ada sokongan yang mencukupi bagi para wanita yang tidak bersedia untuk hamil.

Sokongan boleh datang dalam tiga bentuk yang kritikal – emosi, fizikal, dan kewangan.

Meningkatkan bilangan kaunselor dan pekerja sosial, menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak, menawarkan elaun ibu tunggal, dan insentif cukai kepada pihak majikan yang menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak dan lain-lain lagi akan menyumbang ke arah penurunan keperluan untuk melakukan pengguguran.

Pilihan untuk pengambilan anak angkat juga perlu diselaraskan supaya pasangan yang layak tidak perlu mengharungi proses yang rumit. Dengan cara yang sama, para ibu yang memilih untuk menyerahkan anak mereka mestilah ditawarkan sokongan yang penuh dari semua aspek.

Nyahstigma

Seks luar nikah dan ibu tunggal adalah tabu-tabu kebudayaan yang seringkali dipandang hina atau didiskriminasikan oleh masyarakat. Budaya-budaya konservatif memandang rendah kepada para ibu tunggal dan amat jarang sekali sokongan diberikan kepada golongan tersebut.

Masyarakat, pihak berkuasa, komuniti, serta para pemimpin agama perlu terlibat secara menyeluruh dalam usaha untuk melakukan anjakan paradigm terhadap cara kita memandang ibu tunggal. Kita harus menjadi lebih terbuka dan lebih menerima dengan sikap yang tidak mengadili tentang bagaimana kita boleh menawarkan bantuan, bukannya dengan menolak dan menghina mereka.

Akses untuk mendapatkan pengguguran yang selamat dan sah di sisi undang-undang

Apabila diperlukan dan dibenarkan secara sah, para wanita perlu mempunyai akses untuk mendapatkan pengguguran yang selamat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menerbitkan garis panduan yang menyeluruh dan dikemaskini tentang pengguguran secara perubatan berdasarkan hasil penyelidikan yang baik di peringkat global.

Adanya pengguguran secara perubatan sebagai satu pilihan yang selamat bagi para wanita serta dipantau oleh pengamal perubatan profesional boleh mengurangkan keperluan para wanita ini untuk menggunakan kaedah pengguguran yang tidak selamat.

Pengguguran yang tidak selamat adalah krisis kesihatan awam yang mengancam nyawa dan kesihatan wanita di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Menghalang penjualan pil-pil pengguguran atas talian mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah sekiranya kita tidak menangani punca-punca utama dan memulakan pendekatan yang menyeluruh terhadap penjagaan kesihatan reproduktif wanita.