Bagaimana Untuk Mengesahkan Kehamilan?

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya saya rasa yang saya hamil? Apakah langkah seterusnya sekiranya saya mahukan pengguguran?

Setiap orang terdedah kepada kehamilan yang tidak terancang, apabila tiadanya perancangan kehamilan yang tepat. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengelakkan kehamilan, antaranya adalah dengan menggunakan kondom semasa melakukan seks. Pil perancang kehamilan adalah antara kaedah yang sering digunapakai untuk mengawal kesuburan, selain dari alat dalam rahim. Anda haruslah berjumpa doktor pakar sakit puan untuk membuat ujian yang sesuai untuk mengenalpasti kesesuaian anda dengan kaedah perancangan kehamilan ini.

Kehamilan mula dikira apabila anda sedar anda telah lewat datang haid. Setiap kitaran haid adalah berjumlah purata 28 hari, jadi sekiranya anda telah lewat datang haid, anda harus segera melakukan ujian kehamilan. Terdapat beberapa cara di mana anda boleh mengesahkan kehamilan anda. Antaranya ialah dengan menggunakan ujian air kencing.

Ujian Kehamilan

Apabila anda merasakan ada simptom kehamilan seperti loya, bengkak payudara, dan lesu, anda harus menyegerakan ujian kehamilan. Meskipun begitu, ada kehamilan yang tidak menunjukkan tanda-tanda seperti itu, jadi sekiranya anda merasa ragu setelah melakukan hubungan seks, anda boleh membuat ujian kehamilan selewat-lewatnya 6 minggu selepas berhubungan seks.

Ujian kehamilan boleh didapati di farmasi. Selalunya, ujian ini dibuat melalui air kencing. Hormon human chorionic gonadotropin (hCG) dikenalpasti melalui ujian ini. Hanya mereka yang hamil yang akan mempunyai hormon ini di dalam tubuh mereka. Warna pada ujian kehamilan akan berubah mengikut arahan pada bungkusan, jadi ia akan mengesahkan sama ada anda positif atau negatif hamil.

Meskipun begitu, ujian ini tidak mengesahkan berapakah usia kandungan anda. Anda perlu membuat ujian ultrasound untuk mengetahui usia kandungan anda.

Ujian Ultrasound Bayi

Ujian ultrasound amat berkesan untuk mengesahkan kehamilan anda. Ia menggunakan gelombang bunyi untuk menunjukkan kandungan di dalam rahim anda. Ujian ultrasound juga boleh mengesahkan usia kehamilan anda, kesihatan kandungan tersebut dan perkembangannya. Ujian ultrasound boleh dibuat di klinik kesihatan, hospital ataupun pakar sakit puan yang anda percayai.

Selepas Mengesahkan Kehamilan

Sekiranya anda sudah mengesahkan kehamilan anda, anda perlu membuat keputusan. Semakin lama masa yang diambil untuk anda mengesahkan kehamilan, semakin lama usia kandungan anda. Ini akan meningkatkan kesulitan untuk prosedur seterusnya, sekiranya anda ingin melakukan pengguguran.

Sekiranya anda memerlukan bantuan ataupun mempunyai sebarang soalan, sila hubungi kami di info@womenonweb.org. Kami sedia membantu anda.