Teleperubatan Merapatkan Jurang Akses Pengguguran di Malaysia

Apakah itu teleperubatan? Bagaimana teleperubatan boleh merapatkan jurang akses pengguguran di kawasan yang tidak menawarkan perkhidmatan tersebut?

Akses untuk mendapatkan pengguguran di Malaysia masih terhad, meskipun penggunaan Mifepristone dan Misoprostol disahkan berkesan dan selamat oleh Petubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO).  Jurang akses ini disukarkan lagi dengan pihak berkuasa yang menghalang penggunaan Mifepristone.

Apabila akses kepada pengguguran terhad, ramai di kalangan mereka yang hamil tidak terancang berada dalam keadaan yang gelisah. Mereka tidak diberikan peluang dan juga pilihan untuk menamatkan kehamilan. Stigma terhadap mereka yang hamil tidak terancang selalunya adalah daripada golongan muda yang tidak mengamalkan perancangan kehamilan. Sebenarnya, kehamilan yang tidak terancang boleh berlaku kepada siapa-siapa sahaja, baik sudah berkahwin ataupun belum. Akses kepada pengguguran juga penting untuk mereka yang hamil kerana penderaan dan rogol.

Dengan adanya teleperubatan, jurang kepada akses pengguguran dapat dikurangkan. Ramai yang dapat menjalani pengguguran dengan selesa di rumah mereka sendiri, dengan memastikan bahawa mereka berada dalam keadaan yang selamat dan mengikut dos yang dinasihatkan.

Apakah itu teleperubatan?

Teleperubatan adalah seperti mana-mana servis perubatan dan kesihatan yang lain, cuma ia bergerak seiring dengan kemajuan dan pemodenan teknologi. Maklumat perubatan, diagnosis dan sebagainya boleh dikongsi dengan adanya kemudahan Internet.

Di Malaysia, 61% daripada rakyatnya mempunyai akses kepada Internet. Dalam populasi tersebut, 93% daripada mereka yang mempunyai akses Internet melayari pelbagai laman web melalui telefon bimbit mereka sendiri, diikuti dengan komputer riba dengan 44%. Jumlah ini menunjukkan bahawa rakyat yang mempunyai akses Internet dan telefon bimbit berkelebihan untuk mendapatkan maklumat tentang kaedah pengguguran.

Teleperubatan memudahkan akses kepada bantuan kesihatan untuk mereka yang memerlukannya. Untuk mendapatkan akses kepada teleperubatan, doktor dan pesakit hanya memerlukan telefon bimbit pintar ataupun komputer. Teleperubatan boleh mengurangkan masa yang diperlukan untuk melawat doktor, selain menjimatkan perbelanjaan untuk mendapatkan bantuan kesihatan.

Pengguguran Melalui Teleperubatan

Pada tahun 2005, Women on Web telah mula menawarkan teleperubatan untuk mereka yang memerlukan pengguguran. Jika sebelum ini, pengguguran perlu dilakukan di hospital melalui kaedah pembedahan di bawah pemantauan doktor sahaja, penemuan dalam teleperubatan telah membuka akses baru untuk mereka yang memerlukannya.

Tidak semua orang boleh mendapatkan pengguguran di klinik kesihatan dengan selamat dan berjaya. Kebanyakan daripada mereka dilarang untuk menjalani pengguguran atas alasan budaya dan agama. Sedangkan, pengguguran pada minggu ke 9 kehamilan terbukti berkesan dan selamat, melalui apa-apa prosedur yang disahkan oleh pakar perubatan.

Apabila teleperubatan mula disediakan untuk pengguguran, lebih ramai orang boleh menamatkan kehamilan mereka di rumah mereka sendiri. Sebuah kajian telah dijalankan pada tahun 2017 tentang kaedah ini. Para penyelidik mendapati bahawa kaedah ini membantu mereka yang hamil agar tidak perlu menghadapi tekanan masyarakat dan penyedia perubatan yang tidak mesra dengan keadaan mereka. Kaedah teleperubatan juga sangat berkesan apabila ia disertai dengan arahan dan cara-cara untuk mengenalpasti komplikasi dan bagaimana untuk mendapatkan bantuan.

Jurang yang Sebenar

Apa yang perlu kita sedari melalui jurang ini adalah bagaimana mereka yang hamil tanpa dirancang boleh mendapatkan bantuan yang mereka perlukan tanpa perlu bersusah payah. Meskipun majoriti daripada rakyat boleh mendapatkan akses Internet, minoritinya masih lagi menghadapi kesukaran dan tidak mampu mendapatkan akses tersebut. Masih ramai lagi yang tidak boleh mendapatkan akses kepada Internet, teleperubatan ataupun pengguguran. Teleperubatan adalah salah satu alternatif untuk mendapatkan akses kepada pengguguran. Namun begitu, pengguguran adalah hak setiap insan yang memerlukannya, dan perlu ditawarkan secara terbuka tanpa sebarang rintangan.