Undang-undang Pengguguran di Malaysia

Pengguguran sebenarnya adalah sah dan dibenarkan di Malaysia.

Pengguguran adalah sah dan dibenarkan di Malaysia, di bawah Seksyen 312, Kanun Keseksaan. Meskipun begitu, undang-undang di Malaysia begitu ketat di mana mereka yang ingin menamatkan kehamilan memerlukan alasan kukuh untuk menjalani prosedur pengguguran. Ia haruslah dijalankan oleh pengamal kesihatan yang bertauliah dan disahkan. Selain itu, mereka yang menamatkan kehamilan haruslah menunjukkan bukti bahawa kehamilan tersebut membahayakan nyawa mereka, atau boleh mencederakan mereka secara fizikal ataupun mental.

Stigma Pengguguran Dalam Kalangan Pengamal Perubatan

Ramai pengamal perubatan di Malaysia masih lagi meragui undang-undang tentang pengguguran di Malaysia. Kebanyakan di antara mereka merasakan bahawa pengguguran hanya dibenarkan dalam kes rogol atau janin abnormal. Umum mereka mengetahui bahawa pengguguran tidak dibenarkan atas permintaan mereka yang hamil atau untuk sebab-sebab sosio-ekonomi.

Walaupun majoriti di kalangan pengamal perubatan yang mengetahui tentang status undang-undang pengguguran di Malaysia, mereka memilih pandangan konservatif tentang pengguguran kerana pengguguran dikategorikan di bawah Kanun Keseksaan dan mereka boleh didakwa sekiranya melanggar undang-undang tersebut. Tambahan pula, undang-undang itu tidak boleh melindungi pengamal perubatan sekiranya pesakit mereka meninggal dunia ketika melakukan proses pengguguran.

Undang-undang Syariah yang Mengelirukan

Di sebalik undang-undang Malaysia yang ketat, konteks perundangan tentang pengguguran adalah lebih rumit kerana Malaysia mengamalkan sistem dwi-perundangan yang unik, yang menggabungkan undang-undang secular (sivil dan jenayah) dan undang-undang Syariah (Islam). Umumnya, undang-undang Syariah dikembangkan melalui kitab al-Quran dan Sunnah. Meskipun tiada peruntukan dalam undang-undang Syariah tentang pengguguran, umum percaya bahawa pengguguran dibenarkan sebelum persenyawaan, di mana fetus diberikan roh, selalunya sebelum 120 hari selepas kehamilan.