4 Perkara yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Pengguguran

Sebelum anda menjalani pengguguran, anda harus memastikan keadaan yang sesuai untuk diri anda. Keselamatan anda adalah keutamaan proses pengguguran.

Pengguguran adalah satu proses yang berterusan dan memerlukan persediaan sebelum anda menjalaninya. Sebelum menjalani pengguguran, beberapa perkara yang perlu anda fikirkan antaranya adalah situasi kesihatan anda. Melalui artikel ini, anda boleh mempersiapkan diri untuk menjalani pengguguran dengan selamat.

Sekiranya anda hamil, anda boleh membuat pengguguran sendiri secara perubatan sehingga minggu ke-12 kehamilan anda, dengan menggunakan dua ubat iaitu Mifepristone dan Misoprostol. Anda boleh mendapatkan maklumat tentang ubat-ubatan ini melalui artikel ini.

Sahkan Kehamilan Anda

Sebelum anda memikirkan tentang pengguguran, anda haruslah mengesahkan kehamilan anda. Simptom kehamilan mungkin sama seperti simptom penyakit lain, contohnya loya atau muntah-muntah. Sekiranya anda ragu-ragu akan simptom-simptom yang anda alami, anda haruslah membuat ujian kehamilan dengan segera.

Apabila anda merasakan ada simptom kehamilan seperti loya, bengkak payudara, dan lesu, anda harus menyegerakan ujian kehamilan. Meskipun begitu, ada kehamilan yang tidak menunjukkan tanda-tanda seperti itu, jadi sekiranya anda merasa ragu setelah melakukan hubungan seks, anda boleh membuat ujian kehamilan selewat-lewatnya 6 minggu selepas berhubungan seks.

Ujian kehamilan boleh didapati di farmasi. Selalunya, ujian ini dibuat melalui air kencing. Hormon human chorionic gonadotropin (hCG) dikenalpasti melalui ujian ini. Hanya mereka yang hamil yang akan mempunyai hormon ini di dalam tubuh mereka. Warna pada ujian kehamilan akan berubah mengikut arahan pada bungkusan, jadi ia akan mengesahkan sama ada anda positif atau negatif hamil.

Meskipun begitu, ujian ini tidak mengesahkan berapakah usia kandungan anda. Anda perlu membuat ujian ultrasound untuk mengetahui usia kandungan anda.

Ujian ultrasound amat berkesan untuk mengesahkan kehamilan anda. Ia menggunakan gelombang bunyi untuk menunjukkan kandungan di dalam rahim anda. Ujian ultrasound juga boleh mengesahkan usia kehamilan anda, kesihatan kandungan tersebut dan perkembangannya. Ujian ultrasound boleh dibuat di klinik kesihatan, hospital ataupun pakar sakit puan yang anda percayai.

Pilih Prosedur Pengguguran yang Sesuai dengan Anda

Pengguguran secara perubatan adalah cara yang paling mudah dan selamat. Ia boleh dilakukan di rumah anda sendiri. Dengan adanya teleperubatan, anda boleh menjalani pengguguran secara perubatan dengan selamat. Anda hanya memerlukan ubat dan arahan yang tepat. Kami boleh membantu anda. 

Namun begitu, tidak semua orang sesuai menjalani pengguguran secara perubatan. Terdapat beberapa keadaan yang menghalang anda dari menggunakan ubat-ubat tersebut. Sesetengah orang mungkin mengalami kontraindikasi dan alahan kepada ubat-ubatan ini. Namun begitu, simptom tersebut mudah diketahui melalui carian dan penyelidikan di Internet, sekiranya anda sukar untuk berjumpa dengan doktor.

Anda juga tidak boleh menjalani pengguguran secara perubatan sekiranya anda mempunyai penyakit kronik atau mengalami kehamilan di luar rahim. Amatlah penting untuk anda mengetahui keadaan kesihatan diri anda sebelum menjalani prosedur pengguguran yang sesuai.

Sekiranya anda memerlukan prosedur pengguguran yang lain daripada pengguguran perubatan, anda boleh berjumpa dengan doktor perubatan di klinik mesra wanita di seluruh Malaysia.

Jarak Anda Dekat dengan Hospital

Sekiranya anda memilih untuk menjalani pengguguran secara perubatan di rumah, anda harus memastikan faktor jarak anda dari hospital. Anda harus berada dekat dengan hospital, sekurang-kurangnya satu jam dari hospital. Ini kerana, sekiranya berlaku komplikasi yang melibatkan kehilangan darah, anda harus berada di hospital dengan segera. Begitu juga sekiranya orang lain mengalami keguguran ataupun melahirkan bayi.

Meskipun akses kepada pusat perubatan terhad di beberapa kawasan pedalaman, jarak ini boleh diatasi sekiranya anda menjalani pengguguran dengan memberitahu orang yang anda percayai. Mereka boleh membawa anda ke hospital di waktu kecemasan.

Pastikan Anda Ditemani oleh Orang yang Anda Percayai

Anda dinasihatkan untuk ditemani oleh orang yang anda percayai. Meskipun, tanpa teman tersebut, anda masih boleh menjalani pengguguran. Sekiranya anda berniat untuk menjalani pengguguran sendirian, anda dinasihatkan untuk memberitahu teman terdekat, ahli keluarga yang boleh dipercayai, ataupun pakar perubatan yang boleh dihubungi ketika kecemasan.

Semasa menjalani proses pengguguran perubatan, anda boleh meminta teman anda untuk memeriksa keadaan anda dari semasa ke semasa. Ini juga boleh memastikan bahawa anda tidak mengalami komplikasi. Beberapa komplikasi boleh dikenalpasti, sekiranya ia berlaku.

Mempunyai teman untuk memberi sokongan kepada anda ketika menjalani pengguguran boleh meningkatkan motivasi anda. Anda mungkin mengalami beberapa emosi ketika menjalani pengguguran, kerana anda merasakan kesakitan disebabkan oleh kesan sampingan.

Sekiranya anda memerlukan bantuan atau pun mempunyai sebarang soalan, sila hubungi kami di info@womenonweb.org. Kami sedia membantu anda.